GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebarang perbincangan antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras sepatutnya disertai pemain industri.

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pertemuan KPB dan MyCC dijadualkan pada 19 Januari ini.

"Saya tiada maklumat pertemuan berkenaan sebab pihak Barim tidak dimaklumkan. Namun sedikit perkongsian di lapangan, apa yang saya difahamkan daripada maklum balas ahli persatuan, stok beras putih tempatan terutama bekalan daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memang tiada.

"Kenapa sebahagian besar pasar raya dapat bekalan menjual beras putih tempatan, namun apabila ahli Barim nak dapatkan bekalan beras tempatan dari Bernas dikatakan stok bekalan tiada.

"Bermakna berlaku kawalan apa yang disebutkan ada kartel mengawal berlakunya hal tersebut, jika tidak mana mungkin ahli Barim tidak mendapat bekalan," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu jelas menunjukkan ada 'games' (permainan) tertentu di dalam Bernas dan pendedahan persatuan pengilang padi berhubung dakwaan berlaku isu kartel mungkin benar berlaku.

Justeru, katanya, Ketua Pengarah KPB Datuk Azman Mahmood wajar melaksanakan sesi libat urus dengan wakil pemain industri berhubung isu berkaitan.

"Ada juga Ketua Pengarah KPB beri kenyataan mungkin kurang tepat. Kami di peringkat lapangan lebih maklum senario sebenar berlaku sama ada dalam isu bekalan beras putih tempatan atau isu padi dan benih padi," katanya.

Sementara, Pengerusi Persatuan Pengilang-Pengilang Beras Melayu Malaysia, Mohamad Termizi Yop pula mengharapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), komited menguatkuasakan peraturan dan undang-undang supaya industri lebih harmoni untuk semua pihak khususnya pemain industri.

"Saya berpendapat KPKM dan Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu perlu duduk semeja dengan pemain industri untuk merungkai apa permasalahan yang nak diselesaikan.

"Menteri tak boleh gunakan perunding. Apa yang saya dengar menteri panggil perunding untuk menyelesaikan isu padi dan beras walhal pemain industri lebih tahu lebih maklum.

"Itu yang sekarang apabila perunding bagi atas 'on paper' (kertas) bukannya situasi sebenar di lapangan. Di lapangan berlaku lain, atas kertas berpandangan lain. Jika isu kartel contohnya kenalah menteri duduk berbincang dengan kami," katanya.

Beliau berkata, pihaknya di persatuan pengilang beras dan juga pemain industri perlu dipanggil untuk bantu menyelesaikan isu dan mengutarakan masalah sebenar yang berbangkit.

"Tetapi kami tak dipanggil (sebelum ini). Dia terus buat keputusan melalui perunding yang dilantik oleh kementerian, itu masalahnya.

"Sebolehnya kita nak pertikaikan juga edaran isu benih padi sah. Sudah lebih 10 tahun benih padi sekarang ini diedarkan kepada pesawah.

"Tetapi selama 10 tahun inilah juga tiada peningkatan, hasil padi dalam negara masih di takuk 60 peratus sahaja," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya selepas 10 tahun pihak berkenaan mengeluarkan benih padi yang dikatakan bermutu kepada pesawah, dan sepatutnya hasil padi meningkat namun apa berlaku sekarang hasil padi menurun.

"Itu yang kita masih mengimport. Sepatutnya kita dah tak perlu mengimport beras dari luar negara inilah 'game' pihak yang kawal benih padi.

"Mereka bagi benih yang tidak bermutu menyebabkan padi tak terhasil dengan baik, jadi tak terkawal jugalah harga padi dan harga beras.

"Itu yang kena minitkan kepada kementerian dalam surat. Apa faedah benih padi sah ini selama 10 tahun tidak ada peningkatan hasil malahan menjunam. Menjurus ke arah industri ini 'corrupt, collapse' apabila hasilnya tak bermutu," katanya.

MyCC dalam kenyataan kelmarin berkata suruhanjaya itu sudah menyerahkan surat kepada KPB Oktober lalu, menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai isu berkaitan industri padi dan beras supaya mereka dapat memberikan input mengenai sebarang kebimbangan berkaitan persaingan.

MyCC belum memulakan sebarang siasatan terhadap mana-mana pihak dalam industri ini dan masih belum menerima apa-apa maklumat daripada mana-mana pihak, khususnya KPB.

"Bagaimanapun kami ingin mengesahkan bahawa KPB akan bertemu MyCC pada 19 Januari 2024," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan bahawa MyCC bersedia untuk menyiasat beberapa siri dakwaan mengenai industri padi dan beras dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 4:43 PM