MANCHA menunjukkan barang kes ketika sidang media di Pusat Media IPK Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
MANCHA menunjukkan barang kes ketika sidang media di Pusat Media IPK Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sebuah apartmen di Batu Kawa, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, turut ditemukan dalam serbuan kira-kira 4.30 petang itu 11.9 kilogram (kg) syabu dan 66 gram Ketamin.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM394,000 dan mampu digunakan oleh 59,632 orang penagih dadah.

"Suspek berusia 26 dan 29 tahun itu dikenal pasti menerima bekalan dadah dari Semenanjung yang dihantar menerusi perkhidmatan kurier.

"Mereka mendapat upah antara RM10,000 hingga RM25,000 untuk mengedar dadah sekitar Kuching," katanya pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

Mancha berkata, dalam serbuan itu polis mengesyaki rumah itu turut dijadikan sebagai makmal untuk mencuci dadah yang mereka terima sebelum diedarkan di pasaran

Ia susulan penemuan sebanyak 22 peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuci dadah itu bagi meningkatkan kualitinya sekali gus dijual pada harga lebih tinggi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bergiat dengan sindiket pengedaran dadah itu sejak tahun 2022.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 29 tahun positif dadah manakala seorang lagi negatif dan semakan juga mendapati hanya suspek berusia 29 tahun memiliki rekod lampau berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama," katanya.

Menurutnya, polis turut menyita harta milik kedua-dua suspek iaitu sebuah kereta, seutas rantai emas dan sebuah beg silang yang keseluruhannya bernilai RM62,345.60.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam hingga 30 Mac ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B ABD 1952 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sehingga 12 sebatan," katanya.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga 24 Mac, seramai 2,887 individu ditahan kerana pelbagai kesalahan dadah di Sarawak dengan 169 daripadanya adalah pengedar.

"Pelbagai jenis dadah yang bernilai RM9.2 juta dan harta milik ahli sindiket pengedaran bernilai RM1.4 juta disita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 4:56 PM