MANCHA (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di Miri. FOTO Ihsan JSJN Sarawak
MANCHA (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di Miri. FOTO Ihsan JSJN Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah dari Semenanjung Malaysia susulan penemuan sejumlah dadah jenis syabu bernilai RM848,100 dan penahanan tiga lelaki disyaki ahli sindiket pengedar di Miri, Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kejayaan itu hasil penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di balai ketibaan Lapangan Terbang Miri kira-kira 9 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap bagasi lelaki terbabit yang baru tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2), Sepang itu menemui dadah seberat 25.7 kilogram (kg).

"Susulan itu, dua lagi lelaki berusia 39 dan 45 tahun dipercayai ahli sindiket ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Riam, Miri pada 9.30 pagi hari sama.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine dan amphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus; Ketua JSJN Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah dan Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu.

Mancha berkata, semakan mendapati dua suspek memiliki rekod lampau manakala suspek ketiga yang berusia 39 tahun tidak mempunyai rekod jenayah.

"Suspek pertama yang berusia 21 tahun mempunyai dua rekod mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Suspek kedua yang berusia 45 tahun pula mempunyai tujuh rekod lampau iaitu mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 6(1) ADB 1985, Seksyen 7A(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Mancha berkata, suspek pertama ditahan reman tujuh hari bermula semalam hingga 1 Februari manakala suspek kedua dan ketiga ditahan reman lima hari sehingga 30 Januari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, rampasan itu adalah yang terbesar di Sarawak tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 128,500 penagih dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti sumber dadah itu serta sasaran pengedarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 4:12 PM