Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Sarawak merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.9 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 8 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia adalah hasil tangkapan terhadap seramai 8,717 individu yang terbabit dalam pelbagai kesalahan dadah.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu dalam tempoh Januari hingga 8 Disember itu juga, pihaknya menyita harta bernilai RM3.4 juta.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak terus komited membanteras habis-habisan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan masyarakat negeri ini kekal selamat, aman dan sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Tapis Khas SeMalaysia Siri7/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Mengenai Ops Tapis Khas SeMalaysia yang diadakan pada 6 hingga 8 Disember lalu, Mohd Azman berkata, sebanyak 154 serbuan dan pemeriksaan dijalankan di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kawasan perkampungan serta lokasi dikenalpasti aktif pengedaran dadah.

"Seramai 240 individu yang berusia antara 17 hingga 70 tahun ditahan dalam serbuan itu dengan 10 daripadanya adalah wanita.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 seramai lima orang, Seksyen 39A(1) ADV 1952 (26 orang), Seksyen 12(2) ADB 1952 (62 orang) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (147 orang)," katanya.

Menurutnya lagi, pelbagai jenis dadah yang bernilai RM39,058 dirampas dengan kawasan Padawan mencatat nilai tertinggi iaitu RM20,699 diikuti Miri sebanyak RM5,973.50 dan Bintulu sebanyak RM3,690.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:20 PM