NORLELA (kiri) menunjukkan televisyen yang dirampas. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
NORLELA (kiri) menunjukkan televisyen yang dirampas. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Cubaan menyeludup masuk barangan elektronik yang diikrar sebagai marmar dari negara Asia dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

Taktik sindiket penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Op Kontena, pada 16 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan 10.30 pagi dilakukan bersama pegawai Unit Kelengkapan Elektrik Jabatan Kawal Selia Keselamatan Suruhanjaya Tenaga, hasil maklumat dan risikan.

"Hasil pemeriksaan menemui 1,450 unit barangan elektronik iaitu televisyen Android dan monitor pelbagai saiz dianggarkan bernilai RM450,000 membabitkan cukai serta duti berjumlah RM190,480.

"Semakan di Borang Kastam 1 mendapati dagangan diikrarkan sebagai marmar bagi mengelak dikenakan cukai dan permit. Ini kerana pengimportan barangan elektronik memerlukan Perakuan Kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga," katanya dalam sidang media di Kompleks JKDM Zon Tengah di sini, hari ini.

Norlela berkata, siasatan awal mendapati barangan itu dibawa masuk dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Semakan juga mengesan televisyen yang cuba diseludup masuk ini menggunakan jenama lain namun hampir sama dengan jenama di pasaran. Kita syaki ia dijual secara atas talian," katanya.

Susulan itu, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang berperanan sebagai 'forwarding agent' kepada sindiket terbabit.

Kata beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan dalang dan modus operandi sindiket.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 dan maksimum 20 kali ganda atau RM500,000 mana yang lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

From: Aina

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 1:06 PM