BENGKEL haram di Gombak, Selangor yang diserbu pasukan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, hari ini. FOTO Ihsan Polis
BENGKEL haram di Gombak, Selangor yang diserbu pasukan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, hari ini. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Membeli kenderaan terpakai termasuk kereta curi sebelum dileraikan dan komponen dijual semula di pasaran.

Bengkel haram yang beroperasi dekat kawasan bukit di Gombak, Selangor, itu dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM1.2 juta sejak memulakan kegiatannya enam tahun lalu.

Bagaimanapun, aktiviti terbabit terbongkar selepas sepasukan Bahagian Risikan (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjalankan siasatan dan menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 11 pagi hari ini.

Ketua Penolong Pengarah D4 Bukit Aman, Datuk S Shanmugamoorthy berkata, serbuan menerusi Op Lusuh JJ itu berjaya menahan pemilik bengkel berusia 51 tahun.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan bersama 13 lelaki tempatan yang mengaku pekerja di bengkel itu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan membeli kenderaan terpakai dan menjual komponen kenderaan.

"Suspek membeli semua jenis kenderaan terpakai termasuk yang ditinggalkan, total lost, tender insurans dan lari daripada pinjaman kewangan.

"Ejen yang menguruskan pembelian itu turut menyerahkan salinan geran dan dokumen pemilik kenderaan.

"Kenderaan yang dibeli itu kemudian dileraikan dan komponennya dijual kepada kedai alat ganti kenderaan atau individu berminat," katanya kepada Harian Metro.

Shanmugamoorthy berkata, pasukan merampas empat kenderaan iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dilapor hilang dan tiga kenderaan masing-masing Proton Perdana, Hyundai Elantra serta Kia Spectra yang nombor casis diganggu dipercayai untuk dijadikan kenderaan klon.

Tambahnya, rampasan dianggarkan empat kenderaan itu dianggarkan bernilai RM150,000.

Malah, beliau berkata, semakan mendapati premis itu beroperasi secara haram di atas tanah lapang sejak 2019 dan keuntungan diperoleh antara RM150,000 hingga RM200,000 setiap tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 413 kanun sama, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pasukan turut menyerbu sebuah lagi bengkel kenderaan di Gombak dan menahan tiga warga asing yang bekerja tanpa dokumen diri sah.

Kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:55 PM