ENJIN curi yang dirampas polis. FOTO Hairul Anuar Rahim
ENJIN curi yang dirampas polis. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Elysa Amirah


Kuala Lumpur: Enjin kereta jenis Honda City dan Mercedes Benz dijual pada harga RM5,000 ke RM7,000 setiap satu, itu modus operandi sindiket curi kenderaan dikenali Geng Max Honda.

Kumpulan itu berjaya ditumpaskan susulan penangkapan seorang pemilik bengkel dan tiga pekerja warga Myanmar dalam serbuan Op Lejang di sebuah bengkel di sekitar Klang, Selangor, 18 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya kini sedang memburu seorang lelaki tempatan berusia 43 tehun bernama Liew Chin Kang yang dipercayai dalang utama sindiket.

"Kereta yang dicuri akan diuruskan seorang lelaki tempatan (dalang) kemudian akan dijual kepada bengkel yang berminat pada harga RM5,000 ke RM7,000 bergantung kepada model.

"Bengkel juga akan mengambil alat ganti dari kenderaan terbabit untuk dipasang pada kenderaan lain yang ingin dibaiki," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan pihaknya menemui 15 bongkah enjin pelbagai jenis dan empat buah rangka kenderaan bernilai RM83,000.

Katanya, siasatan awal mendapati ahli sindiket menggunakan kunci pendua dan pakar dalam melumpuhkan sistem keselamatan kenderaan.

"Mereka ini lazimnya gunakan kunci pendua dan larikan kereta ke bengkel untuk dileraikan. Bergantung kepada jenis kereta tetapi kita percaya mereka hanya ambil beberapa minit saja untuk curi kenderaan.

"Rampasan (enjin dan rangka) melibatkan lima kes di kawasan Sentul, Wangsa Maju (dua), Cheras (tiga), Brickfields (satu) dan Serdang (empat)," katanya.

Mengulas lanjut Allaudeen berkata, semakan rekod mendapati semua suspek yang ditahan berusia 26 hingga 42 tahun tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, dalang sindiket yang diburu mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes curi kereta.

"Buat masa ini siasatan kami (Polis Kuala Lumpur) sudah selesai dan kesemua suspek direman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membantu siasatan.

"Kita percaya jika tertangkapnya dalang sindiket ini dapat mengenal pasti bagaimanapun sindiket ini beroperasi dan menyelesaikan beberapa kes lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:27 PM