Gambar hiasan. FOTO Bernama.
Gambar hiasan. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 39 kes kumulatif berkaitan cuaca panas direkodkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-16 hingga ME ke-23 iaitu dari 4 hingga 10 Jun lalu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu, 23 kes membabitkan kelesuan haba, kejang haba (11) dan strok haba (5).

"Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 10 kes di Kelantan, Sabah (9), Sarawak (8), Melaka (4), Terengganu (3), Kedah (2) manakala masing-masing satu kes di Pahang, Kuala Lumpur serta Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut pecahan umur, golongan dewasa mencatatkan 25 kes, remaja sebanyak sembilan kes, kanak-kanak tiga kes dan dua kes warga emas.

"Tiada kes kematian baru akibat strok haba dilaporkan pada ME 23/2023. Ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal sebanyak satu kes sahaja iaitu yang dilaporkan pada 25 April 2023. Kesemua kes yang mendapat rawatan adalah stabil dan telah discaj," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata negara kini berada dalam Monsun Barat Daya dan El Nino lemah sehingga September 2023 yang berpotensi menyebabkan cuaca dalam negara menjadi lebih kering berbanding Monsun Barat Daya pada 2020 hingga 2022.

Beliau berkata keadaan cuaca kering yang berpanjangan itu juga berpotensi mengakibatkan paras air di empangan berkurangan sekali gus menyebabkan bekalan air bersih terganggu, kejadian kebakaran terbuka dan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai agar mengehadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.

"Orang ramai juga digalakkan untuk kerap minum air dan elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka. Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:01 PM