Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas sejak minggu pertama sehingga minggu ke-10 tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia membabitkan tujuh kes di Perak, tujuh kes di Kedah dan satu di Sabah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan empat kes strok haba dan 11 kelesuan haba selain tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Semua pesakit berumur antara 17 tahun hingga 50 tahun dan kesemua kes yang mendapatkan rawatan pesakit luar sembuh kecuali satu kes yang dilaporkan pada 26 Februari lalu.

"Pesakit terbabit dirawat di wad lelaki Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah dan keadaannya stabil," katanya selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Terengganu di pekarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Dr Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan ketika cuaca panas terutamanya di bulan Ramadan.

Beliau berkata, golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas perlu minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

"Selain itu, segera dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 3:25 PM