GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Juruelektrik berumur 61 tahun menjadi mangsa pertama kes kelesuan haba akibat cuaca panas yang dilaporkan di Sabah setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ia menjadikan masalah kesihatan akibat cuaca panas yang direkodkan di Sabah meningkat kepada empat kes sejak 15 April lalu.

Katanya, tiga kes yang dilaporkan sebelum ini dikaitkan dengan strok haba, namun sudah sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

"Terdapat pertambahan satu kes berkaitan cuaca panas iaitu seorang lelaki warga emas berumur 61 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik dimasukkan ke wad pada 17 Mei dan dibenarkan keluar pada 18 Mei lalu selepas mendapatkan rawatan untuk kelesuan haba.

"Kes ini dirawat di sebuah hospital swasta. Gejala kelesuan haba adalah sakit kepala, pening, rasa mual, muntah, kelesuan, kekejangan otot dan suhu badan meningkat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berikutan peningkatan masalah kesihatan berkaitan cuaca panas itu, Dr Rose Nani menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah untuk mengelakkan dehidrasi.

Antara langkah itu, katanya termasuk meminum banyak air kosong, memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah, berehat di tempat yang sejuk dan mempunyai pengudaraan yang baik serta mengelakkan pakaian memerangkap haba.

"Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal penyakit berkaitan cuaca panas.

"Nasihat kesihatan bagi krisis ini juga boleh diperolehi daripada Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia di laman sesawang http://www.myhealth.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:16 PM