Tangkap layar insiden juruwang hamil ditumbuk pelanggan. FOTO Tular
Tangkap layar insiden juruwang hamil ditumbuk pelanggan. FOTO Tular
Omar Ahmad


Johor Bahru: Punca pergaduhan antara juruwang di kaunter sebuah premis perniagaan dengan seorang pelanggan wanita, dipercayai kerana rasa tidak puas hati suspek yang mendakwa menunggu terlalu lama.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis sudah menerima laporan daripada mangsa (juruwang) dan suspek (pelanggan).

Katanya, mangsa berusia 25 tahun membuat laporan polis pada 6.32 petang kelmarin, mendakwa mengalami kecederaan sakit dan bengkak di bahagian bawah mata akibat ditumbuk oleh suspek.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 3.17 pada kelmarin di sebuah premis dalam pusat membeli belah terkenal di Johor Bahru.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana terpaksa menunggu masa yang agak lama bagi membatalkan pembelian satu barang yang dibeli suspek.

"Suspek juga disahkan sudah membuat laporan di Balai Polis Majidee pada jam 9.14 malam keesokan harinya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raub berkata, kes disiasat di bawah seksyen 323 kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 6:35 PM