Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor memburu tiga individu termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit kes samun suri rumah, dalam kejadian Ahad lalu.

Insiden itu tular di media sosial selepas ahli keluarga mangsa yang berusia 56 tahun memuat naik laporan polis berhubung kejadian dan mendakwa wanita berkenaan seperti dipukau.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi hari ini berkata, siasatan terhadap kejadian sedang dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah pada 7 November lalu, mendakwa disamun tiga suspek.

"Dia mendakwa menyerahkan wang berjumlah RM10,000 dan seutas rantai emas selepas diarah suspek.

"Kami sedang memburu kesemua suspek terbabit untuk siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, perkongsian ahli keluarga mangsa mendapat perhatian warganet selepas mendakwa mangsa disamun kira-kira 11 pagi, 6 November lalu ketika membeli barang dapur di sebuah pasar raya di Puteri Wangsa, di sini.

Mangsa mendakwa dihampiri dua wanita yang bertindak memegang lengannya dan membawa dia keluar dari pasar raya itu, malah seorang lelaki berbaju biru turut kelihatan mencurigakan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya.

Perkongsian itu turut mendakwa mangsa dibawa menaiki kereta selain diacu pisau sebelum diarah menyerahkan barang kemas dan mengeluarkan sejumlah wang tunai daripada mesin ATM di sebuah stesen minyak berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 9:10 PM