Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Said Hussain ditemui pada hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Ahmad Badawi.  FOTO DANIAL SAAD
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Said Hussain ditemui pada hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Ahmad Badawi. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) meminta guru serta komuniti setempat memainkan peranan dalam memberikan motivasi kepada murid dan pelajar supaya hadir penuh ke sekolah sepanjang sesi persekolahan termasuk bulan Ramadan.

Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain, berkata pihaknya menyasarkan sifar ketidakhadiran murid dan pelajar bagi kalender akademik 2024/2025 yang dibuka bagi Kumpulan B hari ini.

Oleh itu, katanya bagi mencapai sasaran terbabit semua pihak berkepentingan di negeri itu dapat memainkan peranan masing-masing dalam menarik minat pelajar ke sekolah.

"Hari ini kita lihat semangat anak-anak datang ke sekolah dan bimbang bila bulan puasa (masalah ponteng), namun kita harap semangat ini akan diteruskan sehingga Syawal serta habis sesi persekolahan ini nanti.

"Komuniti setempat perlu main peranan termasuk pihak kariah supaya sentiasa bagi motivasi kepada anak-anak untuk memastikan mereka tidak terlepas dari mengikuti pembelajaran di sekolah sekaligus kita dapat mencapai kehadiran 100 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Hari Pertama Persekolahan Sesi Akademik 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini.

Seramai 217,886 murid dan pelajar dari 397 buah sekolah di negeri ini memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini.

Abdul Said berkata, jumlah itu membabitkan 117,585 murid sekolah rendah manakala sekolah menengah sebanyak 100,301 pelajar.

"Murid Tahun Satu yang direkodkan mendaftar pada sesi persekolahan kali ini adalah sebanyak 21,053 membabitkan 270 sekolah dan pelajar tingkatan satu pula adalah sebanyak 21,034 dari 127 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Abdul Said berkata, pihaknya turut komited dalam mengatasi isu keciciran pelajar melalui program jerayawara yang dirangka membabitkan kerjasama kerajaan negeri dan penghulu di daerah tertentu, di negeri ini.

"Data rasmi (keciciran pelajar) perlu tunggu Kementerian Pendidikan (KPM) namun di negeri ini apa yang kita dapati ia tidak membimbangkan dan peratusan amat rendah.

"Hal ini, selalunya berlaku ketika transisi (peralihan murid) dari sekolah rendah ke (peringkat) menengah yang ada kes mereka (pelajar) pergi ke sekolah swasta dan sekolah agama (tetapi tidak dimaklumkan) termasuk ada juga kes bantu ibu bapa (akibat kemiskinan).

"Bagaimanapun, kita tetap mengambil serius dalam hal ini apabila (KPM) merangka program jerayawara (jelajah) selepas Aidilfitri ini dengan pembabitan kerajaan negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk kerjasama bersama penghulu untuk timbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar, keluarga dan komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 4:36 PM