Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kurikulum persekolahan dijangka tidak akan terjejas susulan langkah mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari pada 2026.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata kurikulum sedia akan dilaksanakan seperti biasa dengan jumlah persekolahan 190 hari setahun, dikekalkan.

Oleh itu, katanya, ibu bapa dan guru tidak perlu bimbang terhadap dakwaan kononnya pelajar dan proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas dengan langkah berkenaan.

"Kementerian Pendidikan memberi jaminan kurikulum persekolahan tidak akan terjejas dan akan dilaksanakan seperti biasa.

"Jumlah hari persekolahan akan kekal 190 hari setahun cuma ada perubahan sedikit tempoh cuti penggal yang akan dipendekkan.

"Kita akan ambil kira pandangan dan keselesaan bukan sahaja murid dan pelajar malah guru-guru dan ibu bapa terhadap langkah mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari, dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin beramah mesra bersama murid darjah satu di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin beramah mesra bersama murid darjah satu di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak 2022, susulan pandemik yang melanda.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata untuk itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalender akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

Seramai 1.44 juta pelajar memulakan sesi persekolahan 2024/2025 di semua sekolah negeri membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, hari ini.

Manakala negeri lain akan memulakan sesi persekolahan mereka esok.

Terdapat lima juta pelajar seluruh negara mengikuti aliran persekolahan kerajaan daripada prasekolah sehingga ke Tingkatan 5.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 9:20 AM