HARUN (kanan) memeluk anaknya ketika lawatan di Puspen Serendah. FOTO Hazreen Mohamad
HARUN (kanan) memeluk anaknya ketika lawatan di Puspen Serendah. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin

Serendah: Walaupun pernah berdepan pengalaman melihat ibu dipukul oleh bapanya, ia sama sekali tidak menjadi dendam kesumat di dalam hatinya.

Malah remaja yang dikenali sebagai Hakim, 16, berbesar hati untuk menerima bapanya yang pernah bergelumang dengan dadah selama belasan tahun.

Hakim berkata, dia berasa bangga dengan usaha bapanya, Harun, 42, untuk berubah menjadi insan yang lebih baik selepas dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Dadah (Puspen) di sini dalam masa terdekat.

"Saya bersyukur bapa dalam keadaan sihat kerana saya sentiasa bimbang dengan tahap kesihatannya memandangkan dia penghidap HIV.

"Selepas kehilangan (kematian) ibu, saya hanya ada bapa tempat saya menumpang kasih. Saya tidak mahu kehilangannya," katanya ketika ditemui semasa sesi lawatan ahli keluarga di Puspen di sini.

Menurutnya, dulu bapanya seorang yang panas baran dan mereka jarang dapat meluangkan masa bersama.

"Apabila bapa berada di sini (Puspen), saya kerap melawatnya. Dia ada minta maaf pada saya dan menyedari kesilapan dilakukan sebelum ini.

"Sebelum ini, saya tinggal bersama datuk di Tumpat, Kelantan. saya bercadang untuk tinggal dengan bapa sebaik dia dibebaskan nanti sebab saya mahu merasa kasih sayang daripadanya.

"Saya nak bapa tahu bahawa saya sudah maafkan segala kesalahan dia. Besar harapan saya untuk lihat dia betul-betul berubah selepas ini dan mahu jadikan perubahan itu sebagai pendorong jadi insan berguna," katanya.

Sementara itu, adik Harun yang mahu dikenali sebagai Siti, 31, berkata, abangnya menunjukkan perubahan ketara dari segi sikap serta penampilan apabila menagih dadah.

"Pada mulanya saya tidak tahu dia ambil dadah namun saya perasan perubahan sikap serta penampilan dirinya.

"Dulu dia seorang yang lemah-lembut dan sentiasa kemas, tetapi dia berubah menjadi panas baran serta selekeh.

"Ketika itu juga saya tidak tahu bahawa kakak ipar sering dipukul oleh abang kerana dia (kakak ipar) tidak pernah bercakap mengenainya.

"Dia langsung tidak pernah mengadu atau bercerita apapun, mungkin kerana dia mahu tutup aib suaminya. Dalam keadaan dirinya tidak sihat, kakak ipar tetap bertahan dengan sikap abang malah sering memujinya," katanya.

Menurutnya, apabila mengetahui sikap abangnya melalui ahli keluarga lain, dia berasa sedih dan terkilan kerana memikirkan perkara dilalui kakak iparnya.

"Seperti anak lelakinya, pasti sukar untuk kami terima hakikat itu pada mulanya. Namun dia sudah mengaku salah dan kami tidak buang dia. Sebagai ahli keluarga, kami cuba bantu apa yang mampu supaya dia boleh berubah ke arah kebaikan.

"Sekarang ini, anaknya berada di bawah jagaan saya dan suami. Setiap minggu kami bawa dia datang ke sini (Puspen) untuk memberi sokongan kepada abang," katanya yang juga suri rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:01 PM