HARUN berharap supaya ahli keluarga terutama anaknya dapat menerimanya kembali ke pangkuan mereka sebaik dibebaskan dari Puspen nanti. FOTO Hazreen Mohamad
HARUN berharap supaya ahli keluarga terutama anaknya dapat menerimanya kembali ke pangkuan mereka sebaik dibebaskan dari Puspen nanti. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin

Serendah:"Sehingga kini saya dibelenggu perasaan bersalah terhadap arwah isteri yang menjadi punching bag dan tempat melepaskan amarah setiap kali saya di bawah pengaruh dadah," kata bekas penagih dadah dikenali sebagai Harun, 42.

Menceritakan semula detik hitam dalam hidupnya, Harun berkata, dia terjebak dengan dadah sejak berusia 17 tahun akibat pengaruh rakan.

"Mula-mula saya ambil ganja, selepas itu saya ambil syabu dan pil kuda. Pada mulanya saya menagih dadah untuk keseronokan bersama rakan.

"Namun apabila bekerja di bengkel, saya mula ambil dadah untuk tenaga disebabkan kerja yang banyak.

"Apabila saya tukar daripada ganja ke syabu, saya mudah naik angin dan jadi agresif. Benda remeh pun boleh buat saya mengamuk dan arwah isteri yang selalu terkena tempias amarah," katanya ketika ditemui di Pusat Pemulihan Penagihan Dadah (Puspen) di sini.

Harun yang juga penghidap HIV berkata, isteri ketika hayatnya amat sabar melayan karenahnya.

"Arwah isteri tahu bagaimana keadaan saya apabila ambil dadah dan selalunya dia akan suruh saya tidur apabila lihat saya masih berjaga pada tengah malam.

"Saya akan marah dan pukul dia dengan pelbagai cara termasuk menggunakan baldi, sepak terajang, tarik rambut dan hentak kepalanya di dinding namun dia tidak pernah melawan.

"Perbuatan itu menyebabkan dia cedera seperti mata lebam, badan bengkak dan kepala benjol. Ketika itu saya tahu bukan salah dia, tetapi saya kerap ulang perbuatan sama," katanya.

Dia merasa amat terkilan apabila tidak sempat membalas jasa baik isterinya yang juga penghidap HIV apabila wanita itu meninggal dunia pada 2013 akibat paru-paru berair.

"Apabila saya ditempatkan di sini (Puspen Serendah) selepas ditahan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) pada 2022, saya bertekad untuk berubah demi keluarga terutama anak lelaki kini sudah berusia 16 tahun.

"Dulu saya kerap abaikan keluarga saya, kini saya berazam untuk berubah supaya anak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa serta memberi kasih sayang yang saya tidak lakukan sebelum ini," katanya.

Besar harapan Harun supaya ahli keluarga terutama anaknya dapat menerimanya kembali ke pangkuan mereka sebaik dibebaskan dari Puspen itu nanti.

"Saya berharap sangat supaya keluarga dan masyarakat beri peluang untuk saya tebus kesilapan silam. Banyak yang saya belajar di sini (Puspen) termasuk bimbingan kaunseling serta pendidikan psikologi yang boleh membantu saya menjalani kehidupan di luar nanti.

"Apabila sudah tahu keburukan yang dicetuskan disebabkan dadah ini, ia menyebabkan saya tidak lagi mahu menyentuhnya. Tidak ada kebaikan pun menjadi penagih (dadah) seperti saya.

"Seronok (semasa ambil dadah) hanya seketika namun boleh merana dan menyesal seumur hidup. Tidak berbaloi sama sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:01 PM