Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan pendekatan tidak mengadakan seisi pembelajaran pada minggu pertama persekolahan.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata, pada minggu pertama itu, pengurusan sekolah perlu mengalu-alukan kehadiran dan menarik minat murid ke sekolah.

Katanya, ia juga tahun kedua pendekatan itu dilaksana selepas kali pertama tahun lalu.

"Semua sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diharap dapat mengurus sebaik mungkin sekolah termasuk bersiapsiaga dengan infrastruktur melibatkan kerusi, meja, buku teks termasuk menyediakan program yang bersesuaian bagi murid," katanya pada Majlis Amanat KPM Sempena Seisi Pembukaan Persekolahan Seisi 2024/2025 di sini hari ini.

Seisi Persekolahan 2024/2025 bagi kumpulan A akan bermula Ahad, manakala kumpulan B bermula Isnin.

Selain itu, Azman berkata, tiada keperluan untuk menutup operasi kantin sekolah sepanjang Ramadan kerana terma yang termaktub antara operator kantin dan sekolah.

"Pihak sekolah perlu menyusun aktiviti bersesuaian kepada murid sepanjang Ramadan dan ketika berdepan cuaca panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 1:08 PM