KELIHATAN kepulan asap akibat pengeboman Israel di timur Rafah pada Ahad. FOTO AFP
KELIHATAN kepulan asap akibat pengeboman Israel di timur Rafah pada Ahad. FOTO AFP
AFP

Rafah: Agensi Pertahanan Awam Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 31 terbunuh, manakala 20 lagi cedera susulan serangan udara semalaman dilancarkan rejim Zionis di kem pelarian Nuseirat, pada Ahad .

Serangan di tengah Gaza itu tercetus Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan melawat Israel untuk perbincangan mengenai konflik yang kian berlanjutan itu.

Saksi, Yasser Abu Oula memberitahu AFP, keseluruhan kompleks kediaman musnah dan masih ada mayat di bawah runtuhan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar untuk terus memerangi Hamas di Gaza, berikutan serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang, sehingga kumpulan pejuang dikalahkan dan semua tebusan dibebaskan

Bagaimanapun, Israel berdepan tentangan hebat dan gesaan untuk mengumumkan rancangan bagi tadbir urus Gaza pasca perang, terutama daripada sekutu rapat Washington, selain protes jalanan besar-besaran dan kini ditentang anggota Kabinetnya sendiri.

Di tengah-tengah kemelut politik itu, Sullivan bertemu rakan sejawatannya dari Israel Tzachi Hanegbi dan Netanyahu di Baitulmaqdis untuk membincangkan konflik Gaza yang kejam dan senario pasca perang.

Beliau memberi taklimat kepada Netanyahu mengenai 'potensi' perjanjian normalisasi antara Israel dan Arab Saudi selepas mengadakan perbincangan di rantau ini, kata Rumah Putih pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli politik Centrist Israel, Benny Gantz mengancam pada Sabtu untuk keluar dari gabungan kerajaan kerana peperangan yang terus berlanjutan.

Beliau menyeru Netanyahu meluluskan 'pelan tindakan' pasca perang menjelang 8 Jun.

Gantz menuntut langkah-langkah untuk mengalahkan Hamas, membawa pulang tebusan, dan ke arah membentuk "pentadbiran Amerika, Eropah, Arab dan Palestin yang akan menguruskan urusan awam di Semenanjung Gaza."

Netanyahu menolak gesaan Gantz, mengatakan ia akan membawa kepada kekalahan bagi Israel dan penubuhan negara Palestin yang ditentangnya dengan keras.

Presiden AS Joe Biden menggesa pada Ahad untuk gencatan senjata segera di Gaza dan berkata, beliau mendesak perjanjian damai serantau "untuk mendapatkan penyelesaian dua negara, satu-satunya penyelesaian."

Israel mengenakan kepungan di Semenanjung Gaza yang sudah lama disekat, menyebabkan 2.4 juta penduduknya kehilangan akses biasa kepada air bersih, makanan, ubat-ubatan dan bahan api, penderitaan hanya berkurangan dengan penghantaran bantuan secara sporadis melalui darat, udara dan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 11:05 AM