Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyasarkan seramai 31.4 juta pelancong tiba di negara ini pada tahun hadapan dengan jumlah pendapatan pelancongan berjumlah RM125.5 bilion.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihaknya menyasarkan jumlah ketibaan pelancong adalah 27.3 juta dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM102.7 bilion pada tahun ini.

"Bagi 2023, jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan berjumlah 20.1 juta dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM71.3 bilion," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai berapa sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara dan apakah program serta langkah-langkah untuk menarik lebih banyak pelancong asing untuk melawat Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya menyasarkan kedatangan 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 bilion.

KHAIRUL menjawab Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
KHAIRUL menjawab Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama

Menurutnya, dari segi program dan langkah untuk menarik lebih ramai pelancong asing datang melawat Malaysia antaranya termasuklah seperti kempen Tahun Melawat Malaysia yang merupakan agenda negara dalam pelancongan.

"Bagi menjayakan kempen tersebut, Motac memerlukan sokongan padu kerajaan negeri, penggiat industri pelancongan negara serta sokongan rakyat dalam membuat persiapan rapi menerima kedatangan lebih ramai pelancong asing ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, Motac melalui agensi seliannya Tourism Malaysia akan meneruskan penyertaan aktif dalam pameran pelancongan antarabangsa seperti International Tourisme Bourse (ITB) Berlin, World Travel Market (WTM) London, Arabian Travel Mart (ATM) Dubai, ASEAN Tourism Forum (ATF) dan banyak lagi yang merangkumi pasaran-pasaran utama seluruh dunia.

"Ini adalah penting bagi memastikan penjenamaan Malaysia Truly Asia akan kekal menjadi pilihan pelancong-pelancong seluruh dunia lebih-lebih lagi memandangkan negara-negara pesaing sentiasa agresif mempromosikan destinasi masing-masing di pameran pelancongan utama tersebut," katanya.

Selain itu katanya, pihak kementerian juga menjalankan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Pelancongan Negeri-negeri dengan menyokong usaha penganjuran kempen Tahun Melawat Negeri yang telah dirancang.

"Sehingga kini, empat negeri sudah mengumumkan kempen tahun melawat negeri pada 2024 iaitu Melaka, Perlis, Kelantan dan Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 2:13 PM