Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan menjangka kerugian RM100 bilion untuk industri pelancongan tempatan tahun ini selepas berlaku gelombang ketiga Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi membantu meringankan impak penularan wabak Covid-19 terhadap penggiat industri dan seterusnya memulihkan industri pelancongan tempatan, kerajaan mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) disedia dan dilaksanakan melalui pelbagai agensi kerajaan secara rentas kementerian.

"Antara bantuan dan insentif yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri pelancongan adalah Program Subsidi Upah, pemberian diskaun elektrik kepada sektor pelancongan dan penawaran penangguhan atau moratorium bayaran pinjaman bersasar.

"Selain itu, di pihak Kementerian sendiri, Motac akan terus melaksanakan inisiatif khusus seperti menawarkan kursus Domestic Tourism Vibes secara dalam talian, pengecualian bayaran fi lesen bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong.

"Inisiatif lain seperti pemberian diskaun dan perlanjutan pembayaran kompaun kepada semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berlesen serta membangun dan menyediakan platform online seperti laman www.malaysia.travel bagi membolehkan penggiat industri pelancongan memapar, mempromosi dan menawarkan pakej dan produk pelancongan mereka secara percuma," katanya.

Nancy menjawab soalan lisan daripada Noorita Sual (DAP-Tenom) mengenai program dan langkah diambil Motac untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan dan membantu pengusaha dalam sektor pelancongan di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, di samping itu, Motac turut mewujudkan pelbagai langkah berbentuk insentif bagi membantu pengusaha pelancongan untuk membangun dan mengembangkan produk dan projek pelancongan seperti premis penginapan pelancongan, inap desa, kraftangan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.

"Langkah penawaran insentif oleh Motac ini dapat membantu penggiat industri pelancongan untuk terus mampan dan berdaya tahan akibat penularan wabak Covid-19.

"Insentif pembiayaan yang ditawarkan oleh Motac adalah Tabung Infrastruktur Pelancongan, Tabung Khas Pelancongan dan Pembiayaan Pelancongan Penjana.

"Selain daripada kemudahan pembiayaan, kementerian ini juga membantu pengusaha industri pelancongan melalui insentif potongan cukai pendapatan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi syarikat pengendalian pelancongan (travel agency) di Malaysia yang layak," katanya.

Menurutnya, dalam masa yang sama, aktiviti sektor seni dan budaya turut diberi fokus yang seiring.

GAMBAR hiasa. FOTO Bernama
GAMBAR hiasa. FOTO Bernama

"Ini kerana sektor ini mempunyai saling kait yang rapat dengan industri pelancongan dan pada masa yang sama, turut terasa kesannya daripada kesulitan yang sedang dihadapi oleh industri ini.

"Justeru, Pelan Pemulihan yang dibangunkan Motac turut mengambil kira untuk membantu penggiat industri seni dan budaya tanah air, tidak kira sama ada di bandar mahupun luar bandar," katanya.

Nancy turut menegaskan pihaknya komited untuk membantu industri pelancongan, seni dan budaya tempatan supaya semua pihak terbabit akan dapat bangkit seterusnya menjana pendapatan bukan sahaja kepada diri mereka semata-mata malah kepada ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 11:43 AM