Datuk Seri Tiong King Sing. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Tiong King Sing. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap kerjasama strategik daripada pelbagai pihak mampu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kerjasama merangkumi kementerian, kerajaan negeri, penggiat industri serta sokongan rakyat penting dalam tempoh tiga tahun ini bagi menjayakan kempen VM2026.

Menurutnya, semua persiapan berstrategi dan efisien untuk mengaktifkan kempen VM2026 perlu dimulakan bagi memastikan kejayaannya.

"MOTAC menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong asing sempena VM2026 dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion.

"Malaysia kaya dengan tarikan pelancongan termasuk keindahan alam semula jadi, budaya dan kesenian, namun malangnya terdapat negeri memandang remeh perkara ini dan tidak mengambil peluang untuk mengoptimumkan sumber pelancongan yang ada.

"Mungkin ada yang tidak sedar industri pelancongan juga antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, malah lebih membimbangkan apabila tarikan pelancongan domestik turut bergerak perlahan, sehingga dilihat tidak mempunyai daya saing berbanding dengan negara jiran," katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 peringkat negeri di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, MOTAC mengalu-alukan inisiatif kerajaan Melaka yang menganjurkan TMM2024.

Katanya, kerjasama strategik MOTAC dan kerajaan negeri dalam menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa iaitu World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27 hingga 29 September 2025 juga dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:03 AM