MOHD Kamil (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Pengarah Kanan Tempatan dan Acara Pelancongan Malaysia Datuk Ammar Abdul Ghapar (dua dari kanan) pada perasmian Mini Travel Mart, semalam. Hadir sama, Presiden MITA, Uzaidi Udanis (kanan) dan Pengarah Pelancongan Malaysia Mohamad Roslan Abullah.
MOHD Kamil (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Pengarah Kanan Tempatan dan Acara Pelancongan Malaysia Datuk Ammar Abdul Ghapar (dua dari kanan) pada perasmian Mini Travel Mart, semalam. Hadir sama, Presiden MITA, Uzaidi Udanis (kanan) dan Pengarah Pelancongan Malaysia Mohamad Roslan Abullah.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Agensi pelancongan yang mengendalikan pakej melancong bagi pengunjung asing ke Perak diberi tawaran untuk mendapatkan insentif makan percuma di negeri itu melalui Mini Travel Mart.

Tourism Malaysia Perak memperkenalkan Mini Travel Mart sempena persediaan acara jualan produk pelancongan domestik dan antarabangsa, Matta Fair yang berlangsung hari ini hingga Ahad.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad Datuk Mohd Kamil Shafie berkata, Tourism Perak memperkenalkan insentif baru itu untuk agensi pelancongan antarabangsa yang berdaftar dan berlesen di negara ini.

“Perak akan menjadi destinasi pelancongan tumpuan sempena Matta Fair tahun ini dan Mini Travel Mart memberi peluang kepada agensi pelancongan memohon insentif makan satu malam di restoran terpilih di Perak bagi percutian minimum tiga hari dua malam.

“Program ini hanya untuk Tahun Melawat Perak 2017 iaitu hingga 31 Disember 2017 dan maklumat permohonan boleh didapati di laman web rasmi Tourism Perak,” katanya pada majlis pembentangan Mini Travel Mart, di sini, semalam.

Menurutnya, Perak menjadi destinasi pelancongan yang mencatatkan kunjungan pelancongan domestik dan antarabangsa paling ramai di Malaysia selama empat tahun berturut-turut.

“Pelancong yang melawat Perak sentiasa meningkat dan catatan tertinggi pada tahun 2015 ialah 7.963 juta.

“Tahun ini, kami menyasarkan bilangan pelancong yang melawat ke Perak 8 juta pelancong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 5:11 AM