GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menggunakan data diperoleh daripada Pengarah Tourism Malaysia berada di pelbagai negara sebelum memutuskan pembukaan semula sektor pelancongan antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia akan dijadikan sebagai panduan untuk mengenalpasti tahap kesediaan negara untuk menyasarkan pembukaan sektor pelancongan antarabangsa.

"(Data) ini dapat membantu kita untuk merangka kempen promosi dan pemasaran bagi membolehkan pelancongan luar negara menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan apabila sempadan negara dapat dibuka kelak," katanya tadi.

Nancy turut mengadakan pertemuan secara maya bersama 43 orang Pengarah Tourism Malaysia yang berada di pelbagai negara dan sesi perbincangan menjurus kepada potensi pembukaan semula aktiviti pelancongan antarabangsa apabila pintu sempadan negara.

Turut hadir dalam sesi libat urus berkenaan ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Dalam pada itu, Nancy memaklumkan sesi libat urus itu turut membincangkan berkaitan peraturan kesihatan serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara luar.

"Informasi seperti ini dapat membantu MOTAC dalam merangka mekanisme yang bersesuaian berhubung urusan kemasukan, faktor kesihatan dan keselamatan, imigresen serta sistem penjejakan data.

"Perkara ini seterusnya akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan sebelum keputusan membuka semula sempadan negara dibuat," katanya.

Tambah Nancy, Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara turut membincangkan mengenai tempoh kuarantin semasa ketibaan, pengiktirafan vaksinasi dan SOP yang jelas untuk pelancong luar negara.

Untuk rekod, industri pelancongan negara terjejas teruk dalam tempoh pandemik ini dengan anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion. Jumlah ini dijangka meningkat kepada RM165 bilion pada tahun 2021.

Berikutan itu, Nancy meminta supaya Tourism Malaysia meningkatkan promosi berhubung keunikan Malaysia di persada dunia seiring dengan tumpuan MOTAC terhadap cadangan pembukaan gelembung pelancongan antarabangsa.

"Bagi mencapai sasaran kemasukan 16 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan sekurang-kurangnya RM45 bilion pada tahun 2025, kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan kembali industri ini seiring dengan tagline MOTAC, 'Coming Back Stronger'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:14 PM