MOHD Roslan bersama ayam ratunya bernama 'Gohan'. FOTO Syamsi Suhaimi
MOHD Roslan bersama ayam ratunya bernama 'Gohan'. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


SUSUK badan cantik ala model dan bijak memberi ‘pose’ terbaik ketika di hadapan pengadil memberi kelebihan kepada ayam ratu bernama Gohan meraih dua anugerah pada Pertandingan Ayam Ratu Tertutup Kelantan 2019, di Kampung Kraftangan, Kota Bharu, semalam.

Gohan dari baka Leung Hang Khao (LHK) yang pertama kali menyertai pertandingan itu dinobatkan Juara kategori baka LHK dewasa dan Juara Keseluruhan iaitu Anugerah Terbaik Antara Yang Terbaik (Best Of The Best) sekali gus membawa pulang sijil dan trofi.

Pemiliknya, Mohd Roslan Mahammed Rafter, 35, berkata, Gohan yang berusia setahun setengah itu, ditatang bagai minyak penuh, dijamu makanan berkhasiat, malah turut diberi vitamin dan makanan tambahan untuk memastikannya sentiasa sihat, cantik dan bergaya.

“Sebelum menyertai pertandingan ini, saya mengambil masa selama tiga bulan untuk melatih serta membiasakan Gohan dengan suasana pertandingan supaya ia tidak janggal apabila beraksi di hadapan juri.

“Selain faktor kecantikan, saiz, warna bulu yang terang, sihat, jinak dan gaya, umur yang masih muda memberi kelebihan utama kepada Gohan menerima anugerah ini,” katanya.

Mohd Roslan yang juga Timbalan Pengarah SME Corp Malaysia negeri Kelantan, berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM300 untuk Gohan termasuk membeli vitamin E untuk memastikan bulu unggas ini kelihatan cantik dan berseri.

“Dalam masa sama, untuk memastikan bulu pelepahnya sentiasa lembab, saya akan memandikan ayam ratu ini sekali sehari dan kebiasaannya ia dilakukan sebelah petang selepas pulang dari kerja.

“Saya mula memelihara ayam ratu pada 2015 dan berjaya menjual anak ayam bernilai lebih RM20,000 kepada peminat ayam tempatan.

“Pada peringkat awal dahulu saya membeli tiga pasang ayam jenis LHK, Ghai Shi dan Supergreen dari Thailand untuk dipelihara dan mendapatkan anak-anak baka terbaik,” katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, pertandingan ayam ratu yang dianjurkan itu juga menjadi pentas untuk peminat ayam ratu mempamerkan kehebatan unggas masing-masing

Pertandingan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu mempertandingkan enam kategori iaitu Leung Hang Khao (LHK) dewasa, LHK muda, induk ratu, solid colour dan pelbagai roma (warna) termasuk kategori baharu, anak-anak ayam ratu.

Kesemua ayam yang dipertandingkan dikurung dalam sangkar mini dan dalam tempoh lapan jam pertandingan, kemudian juri melakukan pemeriksaan teliti bagi memilih johan untuk setiap kategori dan juara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 3:28 PM