SOOSAIMANICCKAM, gambar fail. FOTO Ihsan Pembaca
SOOSAIMANICCKAM, gambar fail. FOTO Ihsan Pembaca
Najihah Borhad


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu Pegawai Kadet Tentera Laut, J Soosaimanicckam yang meninggal dunia ketika menjalani latihan, diserang oleh pegawai kanan di pangkalan tentera laut KD Sultan Idris sebelum kematiannya, enam tahun lalu.

Bekas kadet di pangkalan sama, Anas Hakimi Mat @ Ahmad, ketika memberi keterangan berkata, beliau menyaksikan pegawai Leftenan Muda Ariff atau dikenali 'Ariff' duduk di atas perut Soosaimanicckam dan menamparnya berulang kali sehari sebelum kematiannya.

Anas yang kini peguam menceritakan kejadian itu ketika dia dan beberapa individu lain sedang melakukan senaman fizikal.

Soosaimanicckam ditemukan mati pada hari berikutnya, 19 Mei 2018.

Ketika perbicaraan kes saman atas kecuaian oleh keluarga mendiang terhadap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa pihak lain, Anas menyatakan kehadirannya untuk mendapatkan keadilan bagi Soosaimanicckam.

"Kejadian berlaku pada Jumaat iaitu sehari sebelum kematian arwah. Ariff duduk di atas mendiang, di atas perutnya dan menampar muka mendiang berulang kali.

"Pada hari kejadian, kami berada di situ dan dia (Soosaimanicckam) dipukul. Hampir semua yang menghadiri latihan melihat dia dipukul," katanya.

Saksi itu memberi keterangan bahawa seorang pegawai bernama Mejar Rahim tiba di tempat kejadian dan mengawal keadaan.

Anas berkata, mendiang menjadi sasaran kerana tidak dapat bersaing dengan pelatih lain dalam latihan kadet tentera laut, selain didiskriminasi oleh pihak atasan di KD Sultan Idris.

Beliau berkata, kadet itu ingin mengambil cuti sakit tetapi pegawai yang bertugas, Faiz Zanila, menolak permohonannya.

"Faiz menuduh Soosaimanicckam sebagai manja," katanya.

Anas memberitahu mahkamah bahawa mendiang sentiasa didiskriminasi kerana bangsanya dengan beberapa permohonan cuti sakit ditolak dan dilabelkan sebagai 'manja'.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdlani Roheb, Anas tidak bersetuju bahawa pengasingan dan layanan keras terhadap Soosaimanicckam bertujuan mengukuhkan disiplin dan semangat juang untuk negara.

Anas juga tidak bersetuju bahawa kenyataannya berhubung motif perkauman di sebalik layanan terhadap mendiang hanya spekulasi dan andaian dibuat selepas kejadian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Idah Ismail, akan bersambung pada 17 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:32 PM