SURENDRAN (kanan) bersama Charles (kiri) pada sidang media berkaitan kematian Soosaimanickam ketika menjalani latihan di Pengkalan Tentera Laut Lumut. FOTO Saddam Yusoff
SURENDRAN (kanan) bersama Charles (kiri) pada sidang media berkaitan kematian Soosaimanickam ketika menjalani latihan di Pengkalan Tentera Laut Lumut. FOTO Saddam Yusoff
Safeek Affendy Razali

Petaling Jaya: “Adik saya (Soosaimanicckam Joseph, 27) sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurutera di syarikat elektronik di Shah Alam bergaji lumayan bagi mencapai cita-cita menjadi pegawai tentera laut,” ujar Charles Joseph, 32, yang masih buntu berhubung punca kematian misteri adiknya Mei lalu.

Dia berkata, adik bongsunya meninggal dunia pada 19 Mei lalu ketika menjalani latihan sebagai pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

“Sebelum ini dia pernah mencuba untuk menyertai Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Melaka demi merealisasikan impian menjadi seorang pegawai TLDM selepas menamatkan pengajian.

“Namun usaha itu tidak kesampaian disebabkan beberapa faktor sebelum dia melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Kejuruteraan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi dengan biasiswa penuh dari syarikat Nestle.

“Justeru saya dan keluarga mahukan jawapan dan keadilan terhadap punca sebenar kematian Soosaimanicckam,” katanya ketika ditemui semalam.

Pihak TLDM juga diminta menjelaskan sebab Soosaimanicckam tetap diarahkan untuk meneruskan latihan ketenteraan meskipun dia sudah memaklumkan kepada pegawai penyelianya keadaan kesihatan diri yang tidak mengizinkan untuk meneruskan latihan pada hari sama dia disahkan meninggal dunia.

Peguam bela keluarga mangsa, N Surendran, berkata sehingga hari ini, pihak TLDM masih gagal menjelaskan sebab utama kematian mangsa sehingga wujud elemen mencurigakan termasuk berkemungkinan berlakunya unsur penderaan.

“Berdasarkan laporan awal bedah siasat dijalankan oleh pihak Hospital Seri Manjung, Perak mendapati punca kematian Soosaimanicckam adalah ‘Pulmonary Oedema’ atau kewujudan air dalam paru-paru.

“Bagaimanapun pada 13 Mei lalu, abang mangsa mendakwa Soosaimanicckam menerusi perbualan telefon mengadu dia menjalani latihan bersifat penderaan iaitu tanpa rehat selain tidur hanya satu jam selain melihat kesan luka pada dahi mangsa,” katanya.

“Pada masa ini, pihak keluarga berbincang untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap TLDM, selepas membuat dua laporan polis mengenai kejadian yang berlaku ke atas mangsa.

“Ini kerana sebelum menyertai latihan pegawai kadet berkenaan, Soosaimanicckam disahkan berada dalam keadaan sihat namun meninggal dunia secara tiba-tiba selepas tujuh hari menjalani latihan kadet TLDM,” katanya,

Justeru, Surendran percaya ada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan selain adanya keperluan untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304A, Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

“Pada masa ini keluarga mangsa juga masih belum menerima sebarang penjelasan serta laporan susulan siasatan yang dijalankan oleh polis selepas siasatan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 9:47 AM