GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan produk kesihatan, Hazimi Abd Hamid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri dan peralatan lain dari Pahang yang disahkan palsu, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Hazimi, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa mengeluarkan sepucuk surat bertajuk Letter Of Intent For Research Collabaration On A Project On Ketum Product Development kepada Azizul Aznan Ab Azid, 44.

Surat itu bagi tujuan perniagaan dengan menggunakan gelaran Datuk Seri iaitu sebagai penerima Anugerah SSAP daripada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan juga didapati memiliki barangan Darjah Kebesaran seperti Surat Watikah Perlantikan, Kalung gelaran Datuk Seri (SSAP), Kad Pengesahan diri sebagai Datuk Seri dan lain-lain peralatan daripada Negeri Pahang yang disahkan palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Mont Kiara dekat sini pada 1 April 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen yang sama dibaca bersama Seksyen 17 akta kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu berikutan tertuduh mempunyai tanggungan empat orang anak yang dua daripadanya masih bersekolah.

"Dalam kes ini, tiada mangsa (kerugian) selain anak guam saya tiada risiko melarikan diri, mohon jumlah ikat jamin dikurangkan," kata peguam itu.

Selepas mendengar rayuan semua pihak, Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes pada 5 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 11:46 AM