GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang jurujual warga Bangladesh dipenjara tujuh bulan dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menyalahgunakan wang syarikat berjumlah lebih RM300,000, untuk kegunaan peribadinya.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu selepas Md Mehdi Hasan, 29, mengaku bersalah menyalahgunakan wang RM300,900 milik Syarikat Malik Streams Corporation Sdn Bhd di Wisma Malik, Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi di sini antara 11 Dis 2023 hingga 24 Jan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Berdasarkan fakta kes, hasil laporan audit oleh seorang akauntan di syarikat Malik Streams mendapati, tertuduh telah mengubah 'Tax Invoice' dengan menukar jumlah yang telah dipesan, yang mengakibatkan syarikat berkenaan mengalami kerugian sebanyak RM300,900.

Siasatan pihak polis mendapati tertuduh telah melarikan diri dan menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri, sebelum berjaya ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu berhubung urusan jual beli kereta menggunakan dokumen palsu, pada November tahun lalu.

Ng Wai Hong, 47, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lim Chi Kiat, 38, sehingga mendorong mangsa menyerahkan kereta jenis Mercedez Benz yang hendak dijual bernilai RM155,000 kepada tertuduh, di kawasan perumahan di Taman U Thant di sini, pada 27 Nov 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Amir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 5:42 PM