GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suri rumah didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdaya dua wanita untuk mendapatkan 109 barangan berjenama mewah mencecah lebih RM1.24 juta, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Kee Cel Ghen, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Datin Sabriah Othman.

Mengikut semua pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa menipu dua wanita berusia 25 dan 31 tahun dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan 109 jenis barangan berjenama mewah.

Antaranya beg tangan jenama Chanel, Hermes, Louis Vuitton, jam tangan Rolex dan kemeja T jenama Dior.

Ia mendorong dua mangsa itu menyerahkan wang masing-masing RM312,300 dan RM916,920 sedangkan mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui tidak akan memperoleh barangan itu.

Kesalahan itu dilakukan di dua rumah masing-masing di Taman Fadason dan Jalan Udang Rawa, Taman Sri Segambut, di sini antara 2 Mei dan 18 Julai tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, dan juga denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Amir Hanif Ahijman mencadangkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin manakala TPR Raihanah Abd Razak pula mencadangkan ikat jamin RM200,000.

Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam, Muhamad Razman Sahat dan Syawal Razak merayu ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh perlu menyara anak dan keluarga termasuk ibu bapanya yang uzur.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 3:40 PM