GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bekas jurujual kereta dipenjara setahun dengan dua sebatan serta didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas menyalahgunakan wang RM415,000 berhubung penjualan kereta mewah Bentley Continental GT milik seorang peniaga warga China, tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Hong Yee, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 9 September lalu selain dia akan dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Yap didakwa menyalahgunakan wang RM415,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya hasil daripada jualan kenderaan milik Fan Zhongyang, 25, di Persiaran Mewah Bandar Tun Razak, Cheras di sini antara 3 November hingga 25 November 2022.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan mengambil kira nilai kerugian yang dialami mangsa.

"Dalam kes ini, nilai kenderaan itu bernilai RM500,000 dan mangsa mengalami kerugian kerana kenderaan itu dijual pada harga RM415,000," katanya.

Yap yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga seorang anak dan bapanya.

Mengikut fakta kes, mangsa berurusan dengan tertuduh dalam urusan jual beli kereta jenis Bentley Continental GT bernilai RM500,000 dan kereta itu dihantar kepada tertuduh untuk dijual.

Pada Februari tahun ini, tertuduh memaklumkan kereta itu mempunyai pembeli serta meminta mangsa menyerahkan nombor akaun banknya sebagai pembayaran wang pendahuluan, namun mangsa tidak menerima wang itu dan mengesyaki dia ditipu oleh tertuduh.

Berikutan itu, mangsa meminta tertuduh memulangkan kereta itu dan semakan nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati kereta sudah bertukar milik kepada pihak lain dengan menggunakan nombor pendaftaran lain.

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh menyalahgunakan RM415,000 yang dimasukkan dalam akaun banknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 4:36 PM