PENIAGA warga Bangladesh antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing di dua lokasi di Nilai, petang semalam. FOTO Ahmad Hasbi
PENIAGA warga Bangladesh antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing di dua lokasi di Nilai, petang semalam. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Nilai: Niat warga Bangladesh yang baru mula berniaga daging lembu di sebuah pasar malam dekat Taman Semarak, di sini, terbantut apabila ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing, petang semalam.

Lelaki itu antara 13 warga asing yang ditahan selepas didapati melanggar syarat pas ditetapkan ketika pemeriksaan yang dilaksanakan Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bermula jam 5 petang.

Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dalam operasi semalam, kami melakukan pemeriksaan di premis perniagaan di Taman Desa Ria, Nilai 3, di sini, dan di tapak pasar malam Taman Semarak.

"Bagi pemeriksaan di Taman Desa Ria, kami mengesan tiga premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dan sebuah premis melanggar syarat lesen iaitu tiada kehadiran 30 peratus warga tempatan di premis terbabit," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu pihaknya mengeluarkan enam kompaun terhadap premis terbabit dan turut mengeluarkan tiga notis sita manakala pihak JIM menahan enam lelaki warga Bangladesh.

Menurutnya, pemeriksaan di pasar malam pula pihaknya menyita sebuah gerai daging lembu yang dikendalikan warga asing selain turut mengeluarkan 22 kompaun terhadap peniaga lain yang dikesan berniaga tanpa lesen.

"Kami juga mengesan beberapa pemilik gerai warga tempatan yang menggajikan warga asing. Mereka dikompaun mengikut Seksyen UUK 6(3) Undang-Undang Kecil Penjaja MBS.

"Bagi pihak JIM pula, mereka menahan empat lagi lelaki warga Bangladesh termasuk peniaga daging berkenaan kerana didapati melanggar syarat pas ditetapkan.

"Dalam masa sama, pihak JKM menahan seorang wanita warga Syria bersama dua anaknya yang berusia belasan tahun kerana mengemis. Secara keseluruhan 13 warga asing ditahan," katanya.

Mengulas mengenai kegiatan mengemis dalam kalangan warga asing di daerah itu, beliau berkata, setakat ini situasi masih terkawal dan pengemis berkenaan sebenar datang dari negeri jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 10:43 AM