Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 26,108 lesen peniaga seluruh negara dibatalkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana melanggar syarat lesen atau premis termasuk isu warga asing berniaga.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

"UUK Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian ini menggariskan bahawa kelulusan sewaan tapak pasar awam dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warga Malaysia saja dan warga asing yang bekerja dengan penyewa tapak pasar awam itu mestilah mempunyai pas kerja sah.

"Bagi penyewa yang menyewakan tapak kepada warga asing, PBT tidak boleh berkompromi dan sewajarnya mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sewaan tapak serta lesen perniagaan dibatalkan.

"Sehingga September 2023, sebanyak 26,108 lesen peniaga dibatalkan PBT atas sebab pelanggaran syarat lesen atau premis," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai langkah diambil bagi menangani isu warga asing memonopoli perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar.

Mengulas lanjut, Nga berkata, KPKT sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan kementerian lain bagi menjalankan program turun padang sebagai usaha mengekang penularan masalah perniagaan secara haram oleh warga asing

"KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) memandang serius dan sentiasa memantau aktiviti perniagaan di pasar awam atau gerai bagi menangani isu perniagaan secara haram termasuk membabitkan peniaga warga asing.

"PBT juga komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan melakukan semakan status peniaga sedia ada serta pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT.

"Operasi bersepadu juga dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelaksanaan sebanyak 1,558 operasi bersepadu bermula 2022 sehingga 31 Ogos 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 11:31 AM