GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim dan Nur Ika Khairani Azmi


Kuala Lumpur: Sebanyak 13 kes pelanggaran hak cipta dihasilkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membabitkan rampasan RM326,344, sejak 2022.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 43AA(1) Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan memberikan amaran kepada semua pihak supaya mematuhi peruntukan undang-undang.

"Mengikut peruntukan, tiada individu boleh melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan membuat penstriman untuk dijual, disewa, mengimport, memiliki, menawarkan atau mengedarkan teknologi penstriman yang menjejaskan pemilik hak cipta.

"Mana-mana individu melanggar peruntukan itu boleh dikenakan hukuman denda antara RM10,000 sehingga RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau keduanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Advokasi Kepenggunaan (Perlindungan Harta Intelek) di Pejabat KPDN Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Shamsul Nizam berkata, program advokasi itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada persatuan pemilik perniagaan makanan serta persatuan pengguna mengenai kepentingan pematuhan hak cipta khususnya membabitkan teknologi penstriman.

Katanya, ia selaras dengan perkembangan penyiaran karya secara dalam talian serta tayangan di premis perniagaan yang tidak menggunakan lesen penyiaran komersial.

Program dijalankan dengan kerjasama Bahagian Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Bahagian Pengurusan Kandungan Platform Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Antara peserta yang hadir adalah wakil Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Pengusaha Restoran India (Primas), Pertubuhan Sahabat Tomyam Perihatin Semalaysia, Persatuan Kebajikan Wanita, Ibu Tunggal dan Warga Emas (Perwatie), Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM) dan Rakan KPDN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:16 PM