Minda Ranggong dan Lydia Saiful dan Suhaila Khairie

Petaling Jaya: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedang berusaha untuk memendekkan tempoh permohonan pendaftaran harta intelek yang mengambil masa hampir setahun.

Pengerusinya Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, inisiatif berkenaan adalah langkah baik bagi individu yang berdaftar di bawah MyIPO.

Menurutnya, tempoh perlindungan hak cipta selama enam bulan sebelum ini kini menjadi 30 minit, manakala tempoh perlindungan paten daripada lapan bulan pula diubah kepada enam bulan.

"Semasa tempoh terbabit, kami akan menyemak maklumat dengan teliti dan proses itu selesai apabila semua maklumat lengkap dan sudah dikelaskan.

"Namun, proses ini menjadi lebih panjang sekiranya timbul sebarang masalah semasa semakan maklumat yang memerlukan pengulangan langkah permohonan.

"Masa yang diambil adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang seragam di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Meet & Greet bersama Media sempena Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024) di Menara MyIPO, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zuhan berkata, aduan kecurian harta intelek akibat tidak didaftarkan perlu dilaporkan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Pihak kami hanya memproses pendaftaran dan membantu individu yang mengalami masalah kecurian hak cipta dengan menyediakan bukti sokongan yang diperlukan di mahkamah," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, MyIPO menganjurkan Hari Intelek Negara 2024 untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar dengan MyIPO termasuk program kecil-kecilan di peringkat sekolah.

Sebanyak 40 program sudah dianjurkan di bawah Akademi Harta Intelek (IPA) di mana beberapa peningkatan dapat dilihat menerusi promosi di media sosial dan media cetak, selain di lebuhraya dan lapangan terbang.

Manakala lebih 150 program sudah dijalankan di peringkat cawangan termasuk di dalam dan luar negara untuk memastikan semua pihak dapat melihat kepentingan mendaftarkan harta intelek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 5:31 PM
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),Dr Mohd Zuhan Mohd Zain (dua kiri), memperkenalkan piala Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024) ketika majlis beramah mesra bersama media sempena acara AHIN 2024, di Menara MyIPO. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),Dr Mohd Zuhan Mohd Zain (dua kiri), memperkenalkan piala Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024) ketika majlis beramah mesra bersama media sempena acara AHIN 2024, di Menara MyIPO. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI