DR MAHATHIR (empat dari kanan) menerima kertas cadangan daripada Jurey (tiga dari kanan) mewakili Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM). FOTO Ihsan PTVM
DR MAHATHIR (empat dari kanan) menerima kertas cadangan daripada Jurey (tiga dari kanan) mewakili Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM). FOTO Ihsan PTVM
Sudirman Mohd Tahir


PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meminta kerajaan mengkaji semula tempoh masa stesen televisyen boleh memegang harta intelek dan hak cipta karya dihasilkan mereka.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, untuk memberi lebih faedah kepada penerbit kandungan kreatif khususnya dalam bidang televisyen, hak siaran perlu diberi kepada penerbit swasta selepas dua tahun diguna pakai oleh pihak penyiar seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau stesen televisyen supaya ia boleh menjana pendapatan daripada sumber lain.

“Ini juga boleh merendahkan kos pembayaran untuk membeli rancangan swasta dengan kaedah yang berbeza daripada perolehan masa sekarang.

“Untuk makluman, hak siaran bagi penerbitan RTM sebelum 2010 berada dengan penerbit asal. Tetapi selepas itu, RTM juga mengikut jejak stesen televisyen swasta dengan meletak syarat untuk ‘all rights’ (semua hak cipta).

“Bermakna segala dan semua untuk dipunyai oleh stesen televisyen berkenaan. Penerbit tiada apa-apa untuk dipegang,” katanya kepada Harian Metro selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.

Turut hadir, beberapa ahli jawatankuasa PTVM antaranya Datuk A Aida dan Datin Wendy Wong.

Jurey berkata, isu itu antara perkara dibangkitkan dalam pertemuan lebih sejam bagi membincangkan situasi terkini industri penerbitan televisyen, cadangan penambahbaikan dan hala tuju daripada PTVM sendiri.

“Alhamdulillah, Tun memberikan maklum balas positif. Tun juga banyak bertanya soalan yang beliau tidak tahu. Contohnya, soal patuh syariah yang dikenakan pihak bank kepada syarikat penerbitan.

“Mana-mana syarikat penerbitan yang nak buat program televisyen dan mendapatkan pinjaman bank atau MARA, mereka dikenakan syarat patuh syariah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, drama yang gagal memenuhi syarat patuh syariah daripada bank itu tidak akan mendapat pinjaman dan bukan stesen televisyen yang mengenakan syarat sedemikian.

Menurutnya, Dr Mahathir terkejut dengan penjelasan itu dan meminta PTVM memberi maklumat lanjut serta mahu melihat garis panduan mengenainya.

Selain itu, Jurey juga menyuarakan keluhan penggiat industri kreatif yang dilupakan apabila sudah tiga tahun tidak diberikan peruntukan dalam bajet tahunan kerajaan.

“Jadi, kami ingin memohon peruntukan untuk industri dari segi latihan, teknologi baru dan penyelidikan supaya penggiat industri boleh menaik taraf dan keupayaan kepada tahap antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, beberapa perkara lain turut dibincangkan antaranya mewujudkan konsortium untuk pemberian peruntukan jam kepada syarikat penerbitan supaya mampu merancang perkembangan syarikat.

Katanya, turut dibangkitkan isu kenaikan kadar harga pembelian kandungan televisyen dan insentif pengecualian cukai kepada syarikat korporat yang menaja program.

Beliau juga mencadangkan untuk mengehadkan pengeluaran lesen penerbitan televisyen bagi memastikan hanya syarikat yang berdaya saing dan berkemampuan diberi kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:53 PM