Noor Adzman Baharuddin.
Noor Adzman Baharuddin.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bekas Ketua Biro New Straits Times (NST) Pulau Pinang Noor Adzman Baharuddin, 64, atau dikenali sebagai Cikgu Man meninggal dunia di Hospital Island di sini, akibat kanser hati hari ini.

Adiknya, Nor Azhar, berkata Allahyarham menghembus nafas terakhir pada jam 12.59 tengah hari tadi.

"Allahyarham meninggal dunia pada usia 64 tahun.

"Jenazah dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ara selepas solat maghrib," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, bekas jurugambar NSTP, Rosli Ahmad berkata, dia mengenali Noor Adzman sejak 35 tahun lalu.

Katanya, Allahyarham bukan sahaja teman sekerjanya tetapi juga rakan bermain golf.

"Saya sudah maklum mengenai penyakitnya sejak setahun lalu dan Allahyarham minta supaya tidak menghebahkan kepada rakan yang lain.

"Allahyarham seorang yang bertenaga, gemar berjenaka dan suka membantu.

"Saya menziarahinya dua hari lalu dan beritahu pada Noor Adzman yang saya akan datang melawatnya lagi.

"Allahyarham berkata 'tak payah datang esok, aku tak ada', seolah-olah mahu beritahu pemergiannya," katanya ketika ditemui di hospital.

Allahyarham Noor Adzman adalah anak sulung daripada lima beradik meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.

Beliau menyertai NST pada 1986 sebagai wartawan di Pulau Pinang sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Biro NST Kedah dan kembali ke negeri ini sebagai Ketua Biro NST Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 3:47 PM