NOOR Adzman meninggal dunia akibat kanser hati, hari ini.
NOOR Adzman meninggal dunia akibat kanser hati, hari ini.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Arwah memang suka raikan kawan, hinggakan ada kenalan yang datang melawat (di wad) pun dia masih mahu ajak pergi makan," kata Datuk Noorashidah Ahmad, 63.

Beliau menceritakan keperibadian suaminya, Noor Adzman Baharuddin iaitu bekas Ketua Biro New Straits Times (NST) yang meninggal dunia akibat kanser hati, hari ini.

Noor Adzman yang dikenali sebagai Cikgu Man dalam kalangan rakan meninggalkan dua anak iaitu Izza Azrin 36, dan Qistina Aisyah, 30.

Noorashidah berkata, suaminya sudah hampir dua minggu dimasukkan ke Hospital Island akibat kesihatan merosot, sebelum menghembus nafas terakhir pada jam 12.59 tengah hari.

Katanya, sebelum ini arwah kurang makan tetapi banyak bercakap sejak Jumaat lalu.

"Adakalanya arwah berkata mahu pergi main golf dan jumpa kawan-kawan serta mahu makan macam-macam.

"Semalam, doktor beritahu penyakitnya membuatkan dia semakin lemah dan berhalusinasi. Arwah juga mengadu sakit belakang dan bertanya bagaimana mahu hilangkan kesakitan itu.

"Dia pun tak cakap sangat masalah dia tetapi kami boleh lihat yang dia sedang menahan kesakitan," katanya ketika ditemui.

Noorashidah berkata, beliau reda dengan pemergian Noor Adzman dan sekurang-kurangnya arwah tidak perlu lagi menanggung kesakitan.

"Paling menggembirakan saya apabila ramai kenalan yang datang beritahu arwah bukan hanya sekadar kawan, tetapi ada yang menganggapnya sebagai bapa, mentor dan arwah suka membantu," katanya

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Sungai Ara selepas solat Maghrib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 10:03 PM