ALLAHYARHAM Hasan Omar
ALLAHYARHAM Hasan Omar
Nazri Abu Bakar


Masjid Tanah: "Ayah beritahu dia bermimpi meninggal dunia dan melihat dirinya dikafan serta jenazahnya dimasukkan ke dalam keranda, minggu lalu," kata Mohd Haiqal Hasan, 21, anak ketiga bekas wartawan sambilan News Straits Times Press (NSTP) Melaka, Hasan Omar, 56, yang meninggal dunia hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Haiqal berkata, ahli keluarga tidak mengesyaki apa-apa kerana Allahyarham kelihatan sihat dan ceria.

Namun, katanya, dia tidak menyangka mimpi ayahnya menjadi kenyataan apabila disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, kira-kira 11 pagi hari ini.

"Allahyarham mengalami serangan jantung ketika berada di sebuah kedai kereta di Bachang sebelum dihantar ke Hospital Melaka dengan ambulans, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

"Allahyarham pernah menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang pada 2014 dan keadaannya sihat sehinggalah pagi tadi," katanya.

Mohd Haiqal berkata, Allahyarham dan ibunya dijadualkan untuk menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Melaka (UNIMEL) bersama ibunya esok, namun semuanya tidak kesampaian buatnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noorazilah Muhammad, 54, dan tiga anak lelaki serta seorang perempuan.

Allahyarham pernah bertugas bersama BH di Sabah, Kedah dan Kuala Lumpur sebelum menjadi wartawan sambilan di Melaka.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Londang selepas Isyak malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 8:06 PM