SULTAN Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mateen antara kenamaan yang hadir pada upacara pengebumian Tun Abdul Taib Mahmud. Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, Toh Puan Ragad Kurdi, Menteri Kabinet Sarawak serta anak-anak Allahyarham dan ahli keluarga di Tanah Perkuburan Keluarga Tun Abdul Taib Demark Jaya. FOTO Nadim Bokhari
SULTAN Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mateen antara kenamaan yang hadir pada upacara pengebumian Tun Abdul Taib Mahmud. Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, Toh Puan Ragad Kurdi, Menteri Kabinet Sarawak serta anak-anak Allahyarham dan ahli keluarga di Tanah Perkuburan Keluarga Tun Abdul Taib Demark Jaya. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: "Walau sibuk macam mana sekali pun, beliau tetap akan memberikan masa untuk keluarga," kata Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib ketika mengimbau kenangan bersama bapanya, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

Anak kedua Allahyarham Abdul Taib itu berkata, bapanya seorang yang komited terhadap kerja dan amat tegas mendidik namun beliau bijak membahagikan masa untuk bersama anak-anak.

Abu Bekir berkata, beliau masih ingat bapanya sering membawa anak-anaknya menonton wayang selepas beliau balik dari pejabat.

"Walaupun dalam keadaan penat, mukanya lesu, tetapi dia tetap membawa kami menonton wayang.

"Pernah satu ketika kerana terlampau penat, ayah saya tertidur sehingga berdengkur di dalam panggung wayang," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham Abdul Taib di Tanah Perkuburan Demak Jaya, di sini, hari ini.

Abu Bekir berkata, ketika menjawat jawatan menteri dalam Kabinet Persekutuan, bapanya juga sering membawa anak-anaknya ke pejabat selepas mereka balik dari sekolah.

"Ketika ayah menjadi Menteri Penerangan, balik dari sekolah saya pasti dibawa ke pejabatnya di Angkasapuri (RTM) dan ketika itulah saya berpeluang pergi ke studio di sana dan melihat persembahan.

"Ketika menjadi Menteri Perusahaan Utama pula, ayah selalu membawa kami ke Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) di Serdang dan di sana kami berpeluang mempelajari cara menangkap ikan dan bercucuk tanam," katanya.

Menurutnya, ketika menjadi Menteri Pertahanan pula, banyak masa bapanya bertugas di luar kawasan bukan saja di seluruh negara malah tugas rasmi di luar negara.

"Ketika itu, beliau mesti akan membawa salah seorang daripada kami empat beradik untuk bersamanya mengadakan lawatan dan tugas rasmi dan dia menggunakan wang sendiri untuk menanggung perjalanan anak-anaknya.

"Ada ketikanya, jika ibu (Allahyarhamah Puan Sri Laila Taib) turut serta, dua orang atau semua kami empat beradik akan ikut serta dan inilah cara ayah untuk memastikan dia sentiasa bersama anak-anak, walaupun dia amat sibuk dengan tugasnya sebagai Menteri dalam Kerajaan Persekutuan ketika itu," katanya.

Menurutnya, ketika bapanya dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 1981, beliau dan adiknya (Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib) sudah tinggal di asrama kerana menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Sungai Besi.

"Ketika itu ayah selalu membawa adik bongsu (Datuk Hanifah Hajar Taib) ke majlis-majlis yang dihadirinya," katanya.

Abu Bekir berkata, kini beliau memahami mengapa bapanya sering membawa anak-anaknya ke tempat kerja.

"Dia mendidik kami untuk bekerja keras dan saya ingat lagi dia selalu berpesan kepada kami supaya bekerja dengan kuat untuk mencapai sesuatu," katanya.

Abu Bekir yang ditemui media bersama adiknya, Sulaiman Abdul Rahman turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang banyak membantu ketika bapanya menerima rawatan selain membantu proses membawa jenazah balik ke Kuching dari Kuala Lumpur.

"Terima kasih kepada semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan atas segala bantuan dan penghargaan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu kami dari mula hingga selesai majlis pengebumian ini.

"Pada masa yang sama, saya mewakili adik beradik serta keluarga juga ingin memohon maaf jika ada tersalah cakap atau ada yang tersinggung dengan perbuatan kami dalam tempoh sukar dua tiga hari ini...kami memohon maaf," katanya.

Selain Abu Bekir dan Sulaiman, dua lagi anak Allahyarham Abdul Taib bersama Allahyarhamah Laila ialah Jamilah Hamidah dan Hanifah Hajar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 5:19 PM