Antara bahan yang dirampas pasukan operasi dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Antara bahan yang dirampas pasukan operasi dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan ditahan dalam satu operasi di Kampung Pondo Pulau Gaya di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada 1 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah bersama pelbagai bahan dipercayai untuk digunakan untuk membuat bom ikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat mengenai sebuah rumah yang dipercayai menjalankan aktiviti membuat dan menyimpan bahan letupan.

Menurutnya, didapati seorang lelaki warga asing yang berada di rumah berkenaan bersama beberapa bahan yang digunakan untuk membuat bom ikan.

"Lelaki terbabit mengaku memiliki semua bahan letupan berkenaan dan siasatan juga mendapati suspek membuat sendiri bom ikan untuk kegunaan menangkap ikan.

"Suspek turut mendakwa semua hasil tangkapan akan dijual di Pasar Safma," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, suspek turut mengaku mendapatkan semua bahan untuk membuat bom ikan berkenaan daripada penjual yang berada di Pulau Mangsi, Filipina.

Menurutnya, antara bahan yang dirampas adalah satu guni berisi baja ammonia nitrat, dua gelen petrol, satu guni botol plastik, 40 biji detonator dan gegelung wayar.

"Semua bahan yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu terus dirampas untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, seorang lelaki ditahan selepas didapati mengubah suai sambungan kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Azmi berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat sambungan kabel yang tidak melalui meter dan disyaki untuk mencuri arus elektrik.

Menurutnya, pasukan operasi dari Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) JSJ Sabah terus merampas sebuah meter tiga fasa, kabel elektrik dan kotak sius agihan.

"Kegiatan berkenaan dipercayai boleh menyebabkan kerugian kira-kira RM28,000.

"Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:24 PM