ANGGOTA D4 menangkap salah seorang suspek dalam serbuan di Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
ANGGOTA D4 menangkap salah seorang suspek dalam serbuan di Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tiga penjenayah yang terbabit memecah masuk sebuah restoran makanan segera di Jalan Tuaran Bypass, di sini, 25 Januari lalu, akhirnya kecundang apabila ditahan polis, hari ini.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 33 tahun itu ditahan pasukan Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah di kawasan Sadong Jaya dan Manggatal, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, pihaknya menerima laporan sebuah restoran makanan segera dipecah masuk di Jalan Tuaran Bypass.

"Kejadian disedari pekerja restoran selepas bahagian depan premis dalam keadaan berselerak. Sebuah tab dan dua 'cash drawer' hilang dipercayai dilarikan penjenayah.

"Hasil siasatan di lokasi, pasukan operasi D4 JSJ menimbulkan cap jadi seorang suspek dan tindakan mengesan digerakkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, hasil risikan berjaya mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek yang mengaku memecah masuk restoran itu.

"Suspek turut menyatakan membuang dua cash drawer ke dalam tong sampah berdekatan dengan pejabat Kesihatan Penampang sejurus memecah masuk premis berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah dan curi," katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan barang kes dan tidak menolak kemungkinan ada lagi rakan mereka yang masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 9:18 PM