DUA bekas banduan diberkas pasukan D9 JSJ Kontinjen Sabah di sebuah stesen minyak di Jalan Lintas, Luyang. FOTO ihsan polis
DUA bekas banduan diberkas pasukan D9 JSJ Kontinjen Sabah di sebuah stesen minyak di Jalan Lintas, Luyang. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis bertindak pantas dengan menahan dua bekas banduan yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, kedai dan bengkel di daerah ini dan Penampang, hari ini.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 25 dan 32 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah di kawasan stesen minyak di Jalan Lintas Luyang, jam 3.30 pagi.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemui beberapa alat dipercayai digunakan untuk pecah rumah yang disimpan di dalam beg.

"Suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, kedai dan bengkel di sekitar bandar raya ini dan Penampang.

"Kedua-dua suspek turut mengaku terbabit dalam pecah masuk beberapa kedai runcit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, kedua-dua suspek yang ditahan adalah bekas banduan dan dipercayai terbabit dalam penagihan dadah.

"Tangkapan dan rampasan barangan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengesan kemungkinan ada lagi rakan sejenayah dan mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes lain," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 7:31 PM