Junaidi Ladjana


ENAM nelayan termasuk seorang wanita disyaki terbabit sindiket pembuatan bom ikan ditahan sebelum polis merampas beberapa set dan komponen bom ikan dalam satu operasi khas di Kota Kinabalu semalam.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bukit Aman dengan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) dan Tiger Platun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

Operasi khas itu dilancarkan ke atas sindiket penyeludupan bahan letupan terbabit hasil risikan dan pemantauan susulan kejadian letupan di kedai emas di Segama di sini pada 31 Disember lalu dan kes bom ikan banyak dilaporkan di kawasan perairan di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, berdasarkan operasi di Kampung Pondo dan Pulau Gaya di sini serta Pulau Mantanani di Kota Belud, polis menahan lima lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam pembuatan bom ikan.

“Serbuan itu merampas beberapa set bom ikan dan komponen pembuatan bom ikan antaranya tujuh kotak yang setiap satu mengandungi detonator.

“Selain itu, polis merampas enam gulung wayar dipercayai fius, dua set dipercayai bom ikan, dua bungkusan plastik hitam dipercayai ammonium nitrate, sejumlah botol plastik kosong dipercayai untuk membuat bom ikan.

“Turut dirampas ialah sebuah kapal, bot kayu, dua enjin sangkut, satu unit kompas dan satu unit Sistem Kedudukan Global (GPS) serta wang tunai RM2,203,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina hari ini.

Omar berkata, keenam-enam suspek disyaki terbabit sama ada pembuatan bom ikan atau memiliki bahan letupan yang digunakan untuk membuat bom ikan.

“Daripada laporan yang diterima, lima suspek adalah warga tempatan manakala seorang lagi warga Filipina yang memegang dokumen IMM13.

“Mereka akan diambil tindakan bukan saja dituduh mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (Pindaan 2014) 1958 malah mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya sambil menambah semua suspek bekerja sebagai nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 5:57 PM