Empat penjenayah yang ditahan pasukan D4 JSJ Sabah dalam empat serbuan berasingan di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Empat penjenayah yang ditahan pasukan D4 JSJ Sabah dalam empat serbuan berasingan di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Empat lelaki yang dipercayai mempunyai 49 rekod jenayah berjaya ditahan polis dalam tiga operasi berasingan di ibu negeri ini, semalam.

Kesemua penjenayah berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan polis Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah.

Ketua JSJ Sabah Senior Asisten Komisioner Polis Azmi Abd Rahim berkata, tangkapan berjaya dilakukan susulan siasatan terhadap kes pecah masuk sebuah pasar raya di Putatan di sini, pada Ahad lalu.

Menurutnya, mengikut laporan yang dibuat pengurus pasar raya berkenaan, dia menyedari pintu bilik juruwang dan peti besi dipecahkan pada 9.30 pagi serta menyebabkan kerugian kira-kira RM92,000.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan D4 menjalankan operasi di Kampung Tampulan, Manggatal dan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 45 tahun.

"Siasatan awal mendapati kedua suspek itu masing-masing mempunyai sembilan dan 20 kes jenayah pecah rumah serta dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut merampas sebuah kereta yang disyaki digunakan dalam aktiviti jenayah sebelum itu.

Katanya, susulan itu pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Petagas, Putatan dan berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan dua suspek sebelumnya.

"Ketika cuba ditahan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Suspek ketiga yang berjaya ditahan itu turut didapati mempunyai 12 kes jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya.

Azmi berkata, pasukan operasi kemudiannya menyerbu sebuah bilik sewa di kawasan perniagaan Inanam dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Katanya, suspek dikesan mempunyai lapan kes lampau membabitkan pelbagai kes termasuk mencuri dan dadah.

"Berdasarkan siasatan, semua suspek yang ditahan sudah beberapa kali menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan," katanya.

Azmi berkata, polis juga akan cuba mengesan individu lain yang dipercayai rakan jenayah keempat-empat suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 3:24 PM