Suspek yang ditahan pasukan polis JSJ IPK Sabah dalam serbuan di lobi hotel di Jalan Delima, Sadong Jaya, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN PDRM
Suspek yang ditahan pasukan polis JSJ IPK Sabah dalam serbuan di lobi hotel di Jalan Delima, Sadong Jaya, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lepas pecah rumah, sewa hotel untuk elak dikesan pihak berkuasa. Itu modus operandi seorang lelaki yang aktif melakukan pecah rumah di daerah ini.

Bagaimanapun, taktik suspek dikenali sebagai 'Akut' itu dikesan polis sebelum diberkas di lobi sebuah hotel di Jalan Delima, Sadong Jaya di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, suspek berusia 38 tahun diberkas sepasukan polis dari JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, 8.10 malam.

Katanya, tangkapan berkenaan hasil operasi dan maklumat berterusan bahagian risikan dan operasi JSJ Sabah.

"Hasil pemeriksaan mendapati banyak barangan di dalam beg galas dan di dalam kereta sewa dipercayai barangan curi.

"Antaranya kamera, kasut, satu unit penggera kereta, topeng dan peralatan disyaki untuk mencuri. Turut dirampas pakaian serta kasut iaitu barangan yang dicuri di Inanam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku bahawa dia bersama tiga lagi rakan sejenayah yang masih bebas memecah masuk rumah dan mencuri barang-barang di dalam rumah.

"Suspek juga mengaku menjual beberapa barang yang dicuri kepada pembeli.

"Suspek dan barang rampasan seterusnya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu," katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan tiga lagi suspek yang terbabit kes pecah rumah di bandar raya ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 8:04 AM