Jafni Md Shukor berucap pada Program Pemerkasaan Komuniti di Rumah Sewa Kerajaan (RSK) Cendana dan Perasmian Waqaf Tani Komuniti di RSK Cendana, hari ini. FOTO BERNAMA
Jafni Md Shukor berucap pada Program Pemerkasaan Komuniti di Rumah Sewa Kerajaan (RSK) Cendana dan Perasmian Waqaf Tani Komuniti di RSK Cendana, hari ini. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Kira-kira 2,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri ini yang menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga dengan kadar sewa sehingga tiga kali ganda.

Justeru tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan perjanjian asal kepada penyewa berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya sudah memulakan 'profiling' pada 2022 selepas menerima banyak aduan berhubung isu itu.

"Lebih buruk lagi, ada penyewa yang mengenakan sewaan sehingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar sewa asal iaitu RM200 hingga RM300 sebulan. Keadaan ini semakin berleluasa setelah tidak ada penguatkuasaan dibuat.

"Kita sudah membuat 'profiling' terhadap 80 peratus daripada keseluruhan 14,500 penyewa PPR dan RSK, dianggarkan kira-kira 2,000 unit disewakan kepada pihak ketiga dengan sewa yang tinggi, "katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pemerkasaan Komuniti RSK serta perasmian Wakaf Tani Komuniti di RSK Taman Cendana Dua, di sini hari ini.

Menurut Mohd Jafni, program PPR dan RSK adalah usaha kerajaan untuk membantu golongan B40 dan ke bawah untuk tinggal di kawasan bandar dengan kadar sewa yang rendah.

Katanya, malangnya kemudahan itu telah disalahgunakan dan kerajaan negeri akan bertindak tegas terhadap individu yang berbuat demikian.

"Tindakan pembatalan perjanjian asal akan dilakukan dan unit berkenaan akan diberikan kepada penyewa sedia ada dengan syarat mereka menepati kriteria iaitu pendapatan isi rumah sekeluarga maksimum RM3,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 3:38 PM