ANWAR, gambar fail. FOTO Bernama
ANWAR, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi hari ini menziarahi seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan seniman Dharma Harun Al-Rashid.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran menerusi Facebook hari ini berkata, kedua-dua figura yang pernah terkenal di pentas layar perak negara menerusi karya masing-masing, kini diuji dengan musibah penyakit yang amat mengesankan.

"Dalam pertemuan ini, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan mereka.

"Saya mendoakan mereka berdua dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, insya-Allah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Sarimah, 82, antara pelakon legenda filem klasik dengan membintangi filem seperti Ali Baba Bujang Lapok, Madu Tiga, Ibu Mertuaku, dan Tiga Abdul pernah menghidap kanser usus tahap tiga pada 2022 dan kini, bebas dan pulih daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan.

Dharma Harun, 68, pula yang terkenal menerusi filem Adik Manja masih mengalami beberapa kesan sampingan seperti kesukaran bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma selepas diserang angin ahmar empat tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:00 AM