RAZARUDIN (belakang, tengah) bergambar kenangan bersama Juara Ujian Mara Lasak dari Unit Tindakan Khas (UTK) pada Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2024 di Padang Kawad Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta. FOTO L Manimaran
RAZARUDIN (belakang, tengah) bergambar kenangan bersama Juara Ujian Mara Lasak dari Unit Tindakan Khas (UTK) pada Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2024 di Padang Kawad Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis memberi amaran kepada mana-mana pihak yang memainkan sentimen dan provokasi secara melampau termasuk di media sosial susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan sememangnya akan diambil ke atas provokasi melampau yang boleh menggugat ketidaktenteraman awam memandangkan isu itu juga dikategorikan menyentuh aspek 3R (agama, bangsa, institusi diraja), selain secara terus menyentuh kredibiliti institusi kehakiman.

Katanya, tindakan berbentuk siasatan akan diambil berpandukan kepada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pengadu yang terkesan termasuk melalui hantaran di media sosial yang dibuat.

"Sudah ada 'report' (laporan), dan saya percaya ada lagi 'report' yang menyusul selepas ini, fasal perkara sebegini menggugat ketenteraman awam dan pada saya ia membawa ke arah untuk orang ramai mempertikaikan keputusan mahkamah itu sendiri.

"Berkenaan 3R, saya sudah beritahu dari dulu lagi agar jangan sentuh isu-isu sensitif. (Jadi) apabila isu-isu yang mendatangkan kegusaran dan sensitif untuk agama, institusi diraja, dan bangsa jika ada laporan kita akan siasat dan selama ini pun memang itu tindakan yang kita ambil," katanya.

Razarudin berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di padang kawat Kem Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah KDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Razarudin mengulas sama ada polis akan bertindak terhadap pelbagai sentimen dan provokasi yang dimainkan beberapa pihak termasuk di media sosial susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Nik Elin Zurina baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan tiga laporan polis yang dibuat Nik Elin Zurina susulan ugutan bunuh, Razarudin berkata satu daripada kertas siasatan itu sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala dua lagi masih dalam siasatan.

"Siasatan (hasil) sudah pun mengenal pasti siapa (suspek) yang terbabit dalam menghantar ugutan itu.

"Dia ada terima tiga ugutan tetapi seorang suspek sudah dikenal pasti manakala (suspek) dua kes ugutan lagi masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 4:46 PM