AIMI bersama anak tunggalnya Elnur Aileen Feliya merakam kenangan bersama gambar suami, Muhammad Firdaus pada majlis akikah anaknya.
AIMI bersama anak tunggalnya Elnur Aileen Feliya merakam kenangan bersama gambar suami, Muhammad Firdaus pada majlis akikah anaknya.
Noor Hidayah Tanzizi


Sungai Petani: Wanita ini hanya berpeluang melayari bahtera perkahwinan bersama suami selama empat bulan saja dan anak sulungnya tidak pernah menatap wajah si bapa apabila lelaki itu meninggal dunia, tujuh bulan lalu.

Ketika itu, Elnur Aileen Feliya Muhammad Firdaus yang kini berusia dua bulan berada dalam kandungan Nurul Aimi Shahirah Mohamad Hilmi, 25, apabila bapanya, Muhammad Firdaus Roslan, 25, meninggal dunia.

Nurul Aimi Shahirah berkata, suaminya meninggal dunia dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangi berlanggar dengan kereta ketika pulang dari Perlis ke rumah mereka di Sungai Petani, di sini, Julai tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu dia sedang hamil Elnur Aileen Feliya dan mengakui kemalangan terbabit meragut kebahagiaan mereka, namun memilih untuk berdamai dengan takdir dan reda dengan ujian-Nya.

"Alhamdulillah, rezeki kami apabila Allah SWT beri cahaya mata awal namun siapa sangka dalam kegembiraan menanti orang baru, suami pula dipanggil Ilahi sebelum sempat melihat zuriatnya.

"Berdasarkan aplikasi di telefon (pada hari kejadian), saya 'lihat' suami berhenti tetapi dia tak menghubungi saya seperti selalu lalu menghubunginya, namun tidak berjawab.

"Tidak lama kemudian saya mencuba lagi dan selepas dua kali barulah panggilan berangkat, namun polis yang menjawabnya," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, pihak polis bercakap dengan ibunya dan dia ketika itu menyangka suaminya hanya cedera saja, tetapi sebenarnya ahli keluarga sudah mengetahui suaminya sudah tiada.

"Apabila sampai di Hospital Alor Setar (Hospital Sultanah Bahiyah) saya sangka kami ke bahagian kecemasan rupanya barulah saya sedar yang kami berada di unit forensik.

"Keadaan itu membuatkan saya terkedu dan hampir jatuh terduduk," katanya.

Katanya, sebelum kejadian, mereka sempat berbual pelbagai cerita, malah sempat memasak mi segera untuk memenuhi kemahuan suaminya biarpun sebelum ini lelaki itu akan memasak sendiri mengikut caranya.

"Malah ketika itu suami seakan berat hati nak pergi Perlis biarpun rakannya sudah menunggu di lokasi pertemuan dan suami juga sempat tanya mengenai penampilannya kerana sebelum ini dia tidak suka bertanya begitu.

"Semua itu buat saya pelik tetapi saya tidak mahu fikir bukan-bukan sebelum akhirnya mendapat khabar kemalangan itu," katanya.

Terdahulu, Nurul Aimi Shahirah berkongsi video memaparkan foto dirinya dan Elnur Aileen Feliya merakam gambar bersama gambar Muhammad Firdaus sempena majlis akikah bayinya itu mendapat perhatian dan meruntun hati netizen di TikTok.

Nurul Aimi berkata, insiden itu membuat separuh semangatnya pergi bersama jasad suaminya, namun dia bangkit untuk kuat dan postitif demi bayi mereka yang menjadi harta paling berharga ditinggalkan Muhammad Firdaus.

"Saya masih ingat betapa gembira dan terharunya suami apabila doktor sahkan saya hamil, malah suami berulang kali cakap Alhamdulillah dan mencari nama panggilan untuknya.

"Arwah memilih panggilan 'ayah' selain mahu nama anak kami ada huruf A dan F pada pangkal nama seperti nama kami.

"Selepas suami 'pergi' setiap hari saya menangis, namun saya beruntung keluarga dan keluarga mentua terutama ibu selalu berada di sisi untuk memberi sokongan semangat," katanya.

Berhubung video TikToknya, Nurul Aimi berkata, dia mahu merakam kenangan bersama suami tersayang biarpun hanya dengan gambarnya saja pada majlis yang dianjurkan seperti dirancang suami sejak awal kehamilannya.

"Wajah Elnur Aileen Feliya saling tak tumpah seperti arwah suami dan saya akan menjaga anak kami dengan baik seperti pesanan suami. Saya juga berterima kasih untuk semua komen positif serta mendoakan arwah suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 1:50 PM