JENAZAH anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong hari ini untuk dikebumikan, hari ini. FOTO Bernama
JENAZAH anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong hari ini untuk dikebumikan, hari ini. FOTO Bernama
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Saya sangkakan suami dapat diselamatkan, namun Allah lebih menyayanginya," kata Noraida Che Nor, isteri kepada arwah anggota bomba yang lemas dibawa arus deras dalam kejadian di Kampung Sungai Putat, di sini, semalam.

Noraida, 39, berkata, dia mengetahui insiden menimpa suaminya Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Diya Che Jusoh, 46, daripada kenalan yang bertugas di Hospital Melaka.

Kata ibu kepada empat anak itu, walaupun dimaklumkan suaminya berada dalam keadaan kritikal namun dia amat berharap suaminya dapat diselamatkan.

"Ketika saya tiba di hospital suami sudah tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Tidak dapat saya bercakap dengannya kerana ingatkan dia dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, di sini, hari ini.

Menurut suri rumah itu, tiada sebarang perubahan ditunjukkan suaminya malah bersikap seperti biasa.

"Ketika keluar rumah semalam sebelum ke tempat kerja pun dia seperti biasa tetapi anak perempuan ada beritahu saya kenapa ayahnya selalu tersenyum dan tidak tegas seperti selalu.

"Malah, semalam arwah juga sempat membawa anak kedua kami ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Noraida berkata, suaminya yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai bomba ada berkongsi rasa gembira apabila dia dinaikkan pangkat baru-baru ini.

Allahyarham Mohd Diya meninggalkan empat cahaya mata Muhammad Daniel Hakime, 18, Nurul Ain Balqis, 16, Muhammad Danish Hakim, 12, dan Nurul Anisah Ilya, 9.

Terdahulu, media melaporkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, meninggal dunia awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata, Mohd Diya Che Jusoh, 46, disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 3:07 PM